GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi

Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di daerah Kuching selama 14 hari mulai 9 hingga 22 November ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Embas berkata, langkah itu diambil berikutan kes positif Covid-19 di daerah Kuching kian meningkat setiap hari.

Beliau berkata, pihaknya menilai situasi dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di daerah Kuching iaitu sebanyak 151 kes dalam tempoh 14hari yang lalu.

"Selaras dengan penguatkuasaan PKPB pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada polis.

"Pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali keluar dan masuk ke daerah Kuching," katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak di sini, hari ini.

Uggah berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPB itu akan dikeluarkan esok.

Hari ini, sebanyak 25 kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak dengan kesemua kes itu dilaporkan di daerah Kuching.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 985 kes.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 6:42 PM