LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Setakat ini, ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' yang menjadi buruan Polis Johor belum lagi dikesan keberadaannya di Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya juga menerima maklumat daripada Polis Johor bagi membantu mengesan suspek.

"Kita memang ada terima maklumat daripada Polis Johor berhubung pemburuan suspek itu.

"Maklumat mengenainya sudah diuar-uarkan kepada kepada polis Pulau Pinang termasuk anggota yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR)," katanya kepada media, hari ini.

Sahabudin ditemui selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini.

Menerusi portal Harian Metro semalam, Ketua Polis, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan berita tular mendakwa Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang sedang dijejaki pihak berkuasa itu sudah ditahan.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan ahli perniagaan berusia 33 tahun itu kerana disyaki terbabit dalam sindiket berkaitan pengubahan wang haram serta jenayah komersial.

Dia dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Sindiket berkenaan dipercayai mempunyai rangkaian besar terbabit banyak penipuan dan suspek adalah seorang yang berpengaruh serta mempunyai banyak hubungan dengan ramai orang kenamaan termasuk pegawai daripada agensi penguat kuasa.

Dua kertas siasatan berkaitan individu itu sudah dibuka mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 12:25 PM