Nur Izzati Mohamad


POLIS menembak mati lelaki warga Myanmar dipercayai dalang utama kes penculikan warga asing di Pulau Pinang dalam serbuan di sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit di Kepala Batas, awal pagi hari ini.

Serbuan dibuat pada 1.30 pagi sejurus polis menerima maklumat suspek berusia 25 tahun yang terbabit dengan kes penculikan lelaki yang juga rakan senegaranya pada 14 Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, ketika serbuan, suspek bertindak menyerang seorang anggota polis berusia 30-an dengan parang hingga mengalami kecederaan.

"Bagi mempertahankan diri, anggota polis lain terpaksa melepaskan tembakan yang terkena pada kepala serta muka suspek yang kemudian ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.

"Keadaan dalam pondok itu ketika serbuan agak gelap dan hanya terdapat nyalaan lilin sahaja. Polis turut merampas parang yang digunakan suspek untuk menyerang polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di Nibong Tebal, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Jawi di Nibong Tebal. FOTO DANIAL SAAD
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS), Jawi di Nibong Tebal. FOTO DANIAL SAAD

Sahabudin berkata, pemeriksaan pada mayat suspek menemui sekeping kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dipercayai palsu.

Menurutnya, mangsa culik dan rakan sejenayah suspek turut mengakui lelaki itu adalah dalang utama dalam beberapa kes penculikan membabitkan warga asing terutama rakan senegaranya di Pulau Pinang.

"Polis kemudian menahan lima lelaki tempatan dan enam warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia 18 hingga 45 tahun dalam beberapa serbuan di Pulau Pinang dan Kedah untuk siasatan lanjut.

"Seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an kini sedang diburu untuk siasatan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961," katanya.

Terdahulu, seorang penjaga kolam ikan warga Myanmar berusia 37 tahun di Jalan Changkat, Nibong Tebal diculik sekumpulan lelaki senegaranya pada 14 Ogos lalu.

Isteri mangsa membuat laporan polis pada 17 Ogos lalu apabila suspek meminta wang tebusan RM15,000 menerusi akaun ejen moneywave di Myanmar bagi melepaskan suaminya.

Wang berkenaan kemudian disalurkan ke beberapa akaun warga tempatan di Pulau Pinang.

Mangsa yang dikurung dan dipukul oleh suspek diselamatkan polis dalam sebuah rumah kongsi di ladang getah di Sungai Lalang, Kedah pada 19 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:03 PM