Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Pulau Langkawi yang memiliki 111,500 populasi penduduk menjana sisa sampah sehingga 150 tan sehari.

Ini bermakna, setiap penduduk pulau peranginan itu dianggar menghasilkan kira-kira 1.38 kilogram sisa sampah sehari.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), Radzuan Osman berkata, jumlah itu tidak termasuk waktu puncak ketika penganjuran acara besar di kepulauan itu.

"Janaan sampah di Langkawi secara purata adalah sebanyak 150 tan sehari.

"Bagi waktu puncak ketika penganjuran acara seperti Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima), Iron Man dan sebagainya, janaan sampah akan meningkat kepada 200 tan sehari.

"MPLBP membayar sebanyak RM341,586.34 sebulan kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk menjalankan pengurusan sisa pepejal menerusi syarikat konsesi pembersihan dilantik, Environment Idaman (E-idaman)," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya turut menambah kekerapan kutipan bagi memastikan seluruh Langkawi bersih memandangkan pulau itu satu daripada lokasi tarikan pelancongan terkenal di negara ini.

"Kami membuat penambahbaikan dengan menambah kekerapan kutipan sampah tong berpusat di sepanjang laluan utama daripada enam kali kepada tujuh kali seminggu.

"Kami juga menambah kekerapan kutipan daripada sekali sehari kepada dua kali sehari setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad," katanya.

Selain itu katanya, sampah hanyut juga menjadi cabaran besar buat mereka dalam memastikan kepulauan itu bersih dan indah.

"Sampah hanyut bukan disebabkan janaan sampah, tetapi disebabkan sikap penduduk yang akhirnya menyebabkan sampah terbabit dihanyutkan ke tengah laut semasa berlaku air pasang besar di penempatan mereka.

"Aktiviti di laut seperti memancing dan 'island hoping', sangkar ikan serta 'transboundary waste' atau sampah dari negara jiran juga penyumbang kepada sampah hanyut di Langkawi.

"Pihak MPLBP kerap mengadakan gotong-royong secara berkala dengan agensi lain seperti Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan komuniti nelayan setempat untuk membersihkan sampah hanyut berkenaan," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, pulau peranginan tumpuan dunia itu akan menjadi 'pulau sampah' dalam tempoh lima tahun akan datang jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengatasinya.

Laporan itu juga mendedahkan sikap jijik penduduk terutamanya di Bukit Malut, Langkawi, yang membuang sampah secara terus ke dalam laut.

Wartawan Skuad Khas Harian Metro juga meninjau kawasan penempatan berkenaan selain perairan pulau itu terutamanya berhampiran Bukit Malut yang dipercayai menjadi punca utama sampah.

Tinjauan juga dilakukan di Pulau Singa, iaitu pulau kecil yang terletak berhampiran Pulau Langkawi yang dipenuhi sampah yang dipercayai dihanyutkan dari penempatan Bukit Malut.

Berita berkaitan:

  • Langkawi ditimbuni sampah [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 4:17 PM