Bunga ros segar yang dirampas MAQIS di KLIA. FOTO ihsan MAQIS
Bunga ros segar yang dirampas MAQIS di KLIA. FOTO ihsan MAQIS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,208 kilogram keratan bunga ros segar dari negara Ethiopia bernilai RM43,210.65 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Selasa lalu.

Pemangku Pengarah MAQIS Selangor Zamri Hashim berkata, barang dagangan itu ditahan kira-kira jam 3 petang ketika pemeriksaan dilakukan di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Hasil pemeriksaan rutin dilakukan oleh pegawai MAQIS mendapati terdapat kesalahan dikesan ketika pemeriksaan rapi pada dokumen yang diisytiharkan.

"Terdapat kekeliruan nombor permit pada sijil fitosanitasi dan permit import yang dikemukakan kepada pegawai MAQIS bertugas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengimportan dagangan bunga itu tidak mematuhi syarat permit import yang sah dikeluarkan oleh MAQIS.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana tidak mematuhi syarat permit.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

Tambah beliau, MAQIS sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan ke atas setiap dagangan diimport dan dieksport bagi mengelakkan kemasukan dagangan bersama penyakit serta perosak yang boleh menjejaskan negara selain mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 9:13 AM