Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Peniaga di kawasan pelancongan diminta tidak mengambil kesempatan mengenakan harga melampau ketika masyarakat masih terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tindakan sedemikian dibimbangi akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan yang baharu sahaja dibuka.

"Isu hidangan ikan siakap berharga lebih RM1,000 di Langkawi yang mendapat perhatian ramai seharusnya dijadikan pengajaran supaya kejadian sama tidak berulang.

"(Saya nasihatkan) jangan salah guna kuasa sebagai penjual dan pengguna juga perlu teliti ketika berbelanja.

"Kita pergi melancong ke sesuatu tempat untuk berseronok jadi kita tidak mahu isu sebegini mengurangkan minat orang untuk melancong," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sembang Santai di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.

Nancy berkata, kebenaran rentas negeri yang diumumkan kerajaan sewajarnya digunakan sebaik mungkin semua pihak yang sebelum ini terkurung kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kita (pihak kerajaan) mahu bantu ekonomi negara dan pada masa sama, beri ruang untuk rakyat keluar melancong, jadi kita ingatkan semua pihak ada tanggungjawab untuk bantu hidupkan sektor ekonomi," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, makan tengah hari sekumpulan tujuh pelancong di sebuah restoran terapung di Langkawi dikejutkan dengan harga ikan siakap yang didakwa terlalu mahal.

Berdasarkan satu resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial, ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesannya berharga RM1,196.80.

Nancy Shukri (dua kiri) bersama Pengarah pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria (kanan) dan  Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, pada program Sembang Santai di UMT. FOTO GHAZALI KORI
Nancy Shukri (dua kiri) bersama Pengarah pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria (kanan) dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, pada program Sembang Santai di UMT. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 6:07 PM