Ariffin (tiga dari kiri) ketika hadir Misi Bantuan Pasca Banjir ke Terengganu oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) di Alor Limbat. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Ariffin (tiga dari kiri) ketika hadir Misi Bantuan Pasca Banjir ke Terengganu oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) di Alor Limbat. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Ujian calitan ke atas 24 pemancing termasuk kontak rapat pesakit positif Covid-19 dari Manir yang menggunakan perkhidmatan rumah bot di Tasik Kenyir disahkan negatif, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata, semua individu terbabit kini menjalani perintah kuarantin wajib selama 10 hari di rumah masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, semua individu terbabit perlu menjalani ujian calitan kedua pada hari kelapan kelak.

"Walaupun keputusan ujian calitan semua pemancing negatif, rumah bot yang dinaiki mereka tetap dinyahkuman sebagai langkah pencegahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Misi Bantuan Pasca Banjir ke Terengganu oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) di Alor Limbat, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai sekumpulan 24 pemancing yang bercuti di Tasik Kenyir pada Khamis lalu terpaksa menjalani kuarantin sementara di sebuah rumah bot berikutan seorang daripada mereka disyaki positif Covid-19.

Kesemua pemancing yang tinggal di Manir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan dipakaikan gelang kuarantin berwarna putih.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menyambut kehadiran pelancong ke negeri ini sekiranya perjalanan rentas negeri dibenarkan secara menyeluruh.

"Kita sentiasa mengalu-alukan kehadiran mereka ke sini bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat, namun kita harap pelancong dapat mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 7:10 PM