TASIK Kenyir. FOTO Arkib NSTP
TASIK Kenyir. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Terengganu: Orang ramai dinasihatkan tidak panik dengan khabar angin yang tular di media sosial kononnya terdapat satu kes pengunjung yang positif Covid-19 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semalam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Razali Idris berkata, pengunjung lelaki yang dikatakan positif itu hanyalah kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan dia juga tidak mempunyai gejala yang boleh dikaitkan dengan wabak itu.

"Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir Zalani Endut bahawa lelaki itu dikehendaki menjalani saringan kesihatan di Hospital Hulu Terengganu selepas isterinya yang berada di rumah disahkan positif Covid-19 semalam.

"Akur dengan arahan itu, pihak persatuan mengesan lokasi rumah bot yang dinaiki lelaki terbabit dengan kerjasama Polis Gerakan Marin dan beliau telah pun menjalani ujian calitan di Hospital Hulu Terengganu pada 5 petang semalam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, tular di media sosial mengenai sekumpulan 24 pemancing yang bercuti ke Tasik Kenyir pada Khamis, terpaksa menjalani kuarantin sementara di sebuah rumah bot berikutan seorang daripada mereka disyaki positif Covid-19.

Razali berkata, kesemua pemancing itu yang tinggal di Manir telah dibenar pulang ke rumah masing-masing dan dipakaikan gelang kuarantin berwarna putih.

"Mereka dibenarkan pulang pada tengah hari tadi dan akan menjalani kuarantin selama 11 hari sehingga keputusan ujian saringan lelaki itu diketahui.

"Begitu juga dengan pemandu dan empat kru di rumah bot itu yang akan menjalani kuarantin selama 11 hari di dalam rumah bot. Ini adalah kes terpencil. Bagi pihak pengurusan Ketengah, kami yakin pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini demi kebaikan bersama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 7:21 PM