SAIFUDDIN (tengah) bersama penerima tablet. FOTO Asrol Awang
SAIFUDDIN (tengah) bersama penerima tablet. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No 2) 2021 khusus untuk menangani berita palsu berkaitan Covid-19 dan proklamasi darurat, bukan untuk menyekat kebebasan media, bersuara dan mengkritik kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dakwaan mengatakan ordinan itu untuk menyekat kebebasan berkaitan adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, sebarang tindakan yang diambil akan dibezakan terlebih dahulu sama ada kritikan kepada kerajaan mahupun penyebaran berita palsu Covid-19 dan proklamasi darurat.

"Oleh itu, saya ingin jelaskan bahawa ordinan ini bukan untuk menyekat kebebasan bersuara dan media kerana ia betul-betul merujuk kepada berita palsu dalam dua isu sahaja iaitu Covid-19 dan proklamasi darurat.

"Tindakan yang akan diambil hanya terhadap individu yang menyebarkan berita palsu sahaja," katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Pelajar Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Parlimen Indera Mahkota di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai banyak kritikan diterima kerajaan berhubung penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No 2) 2021 yang bermula semalam.

Ordinan itu memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyiar serta menyebarkan berita tidak benar khususnya di media sosial.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali. Bagi kesalahan yang berterusan pula, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 200 penerima daripada golongan B40 menerima tablet untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 4:04 PM