Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiada apa yang dapat menggambarkan keresahan hati seorang isteri apabila suami tercinta disahkan menghidap kanser lidah tahap empat.

Namun, wanita ini Juli Suriati Jaafar, 50, tabah dan reda menerima takdir itu dan nekad untuk bersama-sama berjuang melawan penyakit dideritai suaminya, Azran Md Jaffar, 54.

Azran yang juga bekas Pengarang Berita akhbar Berita Harian disahkan menghidap kanser lidah tahap empat setahun lalu dan sudah menjalani tujuh rawatan kemoterapi dan 33 kali radioterapi.

Juli Suriati berkata, sekitar Mac tahun lalu suaminya hilang selera makan dan sakit di bahagian mulut menyebabkan dia hanya dapat makan bubur saja.

"Ketika itu kami tidak tahu lagi dia menghidap kanser kerana suami memang selalu sakit gigi dan gusi, kami ingatkan sakit biasa saja.

"Tetapi dalam tempoh dua tahun kesakitan itu, suami pergi cabut gigi berulang kali tetapi kesakitan itu tidak hilang sehinggalah pada tahun lalu darah keluar dengan membuak daripada mulutnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lembah Keramat, di sini, hari ini.

Juli yang juga juruaudit dalaman di sebuah syarikat swasta berkata, selain darah membuak keluar, leher suaminya terdapat benjolan kecil yang disangkakan beguk.

"Selepas suami muntah darah sehingga satu plastik, saya terus membawanya ke sebuah klinik di Taman Melawati sebelum dirujuk ke Hospital Ampang.

"Ketika berada di wad kecemasan hospital berkenaan, doktor mengesahkan suami menghidap kanser sudah beberapa tahun lalu sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Juli Suriati yang juga ibu kepada tiga anak berusia 19 hingga 24 tahun berkata, pakar di HKL kemudian mengesahkan sekali lagi suami menghidap kanser lidah tahap empat menyebabkan tiga perempat lidah sudah dijangkiti terutama pangkal lidah dan lidah depan.

"Doktor kemudian memberi dua pilihan kepada kami sama ada mahu meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi atau pembedahan.

"Kami memutuskan mahu melakukan kemoterapi dan radioterapi walaupun risiko sembuh agak rendah berbanding pembedahan," katanya.

Katanya, bulan ini genap setahun suaminya mengharungi derita itu dan semua rawatan kemoterapi dan radioterapi selesai Disember lalu.

"Alhamdulillah saya lihat keadaan suami semakin baik, dia sudah boleh bangun membaca buku yang menjadi rutin hariannya setiap hari.

"Bagaimanapun, kami masih menunggu keputusan sama ada sel kanser ini masih ada atau tidak.

"Malah, suami juga hanya boleh minum susu saja setiap tiga jam sekali yang dimasukkan melalui tiub di perut," katanya.

JULI menguruskan suaminya, Azran yang menghidap penyakit kanser lidah tahap empat. Aizuddin Saad
JULI menguruskan suaminya, Azran yang menghidap penyakit kanser lidah tahap empat. Aizuddin Saad

Menurutnya, berikutan suaminya hanya dapat minum susu saja, dia membelanjakan sekitar RM1,200 sebulan untuk tujuan itu.

"Sehari satu tin diperuntukkan untuk suami kerana kekerapan tiga jam sekali.

"Doktor juga tidak menyarankan makanan lain termasuk bubur kerana bimbang dia boleh tersedak," katanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang untuk rawatan Azran boleh berbuat demikian dengan memasukkan ke nombor akaun peribadinya, Maybank 114012004275.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 4:38 PM