ROSOL (kanan) menerima akujanji pematuhan SOP daripada Jawahar Ali. FOTO ihsan KPDNHEP
ROSOL (kanan) menerima akujanji pematuhan SOP daripada Jawahar Ali. FOTO ihsan KPDNHEP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan permohonan kelonggaran mengadakan majlis perkahwinan pada skala kecil kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh terdekat.

Ia bagi membolehkan pengusaha katering kembali beroperasi seperti biasa selepas terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia merangkumi kebenaran mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti serendah 250 orang di lokasi awam seperti dewan yang sesuai.

Katanya, ia bagi memastikan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi tangan, pemeriksaan suhu badan, pendaftaran kehadiran ke majlis dan lain-lain ketetapan terkini oleh MKN tidak diabaikan.

"Kementerian menerima banyak permohonan dan keluhan daripada pengusaha katering yang tidak dapat beroperasi sejak pelaksanaan PKP dan PKP Bersyarat (PKPB).

"Sehingga kini pengusaha katering terutama yang banyak mengendalikan majlis perkahwinan, jamuan awam serta keraian terjejas dan terpaksa menutup perniagaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

"Walaupun majlis keraian sosial dan keramaian tidak dapat diadakan dalam tempoh PKP dan PKPB bagi memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak berjaya, kementerian melihat masih ada ruang untuk pengusaha katering dibenarkan beroperasi," katanya selepas melakukan tinjauan pematuhan SOP Perdagangan Pengedaran Bagi Sub Sektor Restoran di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, kementerian melihat kebenaran mengadakan majlis perkahwinan di rumah masih memerlukan kajian terperinci berikutan kesukaran memastikan perjalanan majlis mematuhi pelaksanaan SOP yang ketat.

Menurutnya, dianggarkan lebih 20,000 pengusaha katering di seluruh negara dan sebahagian besar daripadanya terkesan kerana terpaksa berdepan dengan pembatalan majlis perkahwinan dan keraian oleh pelanggan, selain tidak menerima sebarang tempahan untuk majlis seumpamanya sebagaimana biasa sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

"Kementerian yakin sekiranya kebenaran mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti 250 orang di dewan yang sesuai diberikan, ia bukan saja dapat membantu pengusaha katering untuk kembali bernafas selepas perniagaan terjejas dalam tempoh panjang, tetapi juga dapat mengelakkan masalah kehilangan pekerjaan serta kerugian dan penutupan perniagaan.

"Kita juga menerima jaminan daripada pengusaha katering untuk memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi SOP yang ketat bagi mengelakkan risiko penularan Covid-19, sekali gus menjayakan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan pandemik ini sering dengan pemulihan ekonomi dan sektor perniagaan di negara ini," katanya.

Pada program sama, beliau turut menerima akujanji daripada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mengenai komitmen untuk memastikan semua restoran di bawahnya mematuhi SOP ditetapkan.

Ia disampaikan Presiden Presma Datuk Jawahar Ali Taib Khan.

Rosol berkata, KPDNHEP menitikberatkan pematuhan SOP itu bagi mengawal penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 8:43 PM