GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kebenaran mengadakan majlis sosial seperti resepsi, perkahwinan, kenduri dan majlis hari jadi bermula Jumaat ini, harus dihargai sebaiknya tanpa melupakan prosedur operasi standard (SOP) pengawalan Covid-19.

Pakar Kesihatan Awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, sudah pasti ramai gembira dengan kelonggaran itu namun tidak seharusnya alpa.

Menurutnya, bagi yang sudah lama merancang mengadakan majlis tertentu pastinya akan menggunakan peluang terbabit untuk menunaikan impian mereka.

"Walaupun majlis sosial dibenarkan, janganlah kita ambil kesempatan langgar SOP. Kebebasan itu memberi ruang untuk individu yang dah lama merancang buat majlis seperti perkahwinan.

"Jadi, ambil ia (kelonggaran) sebagai nikmat yang kerajaan beri dan gunakan sebaik mungkin dengan cara mematuhi SOP ditetapkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Dr Hanafiah berkata, meskipun kes baharu jangkitan Covid-19 masih tinggi terutama di Lembah Klang namun sudah masanya masyarakat mengadaptasi normal baharu.

Katanya, penurunan kes hari demi hari membuktikan semua pihak mampu untuk mengawal penularan melalui pematuhan kepada SOP ditetapkan kerajaan.

Tambah beliau, peningkatan kadar denda juga diyakini dapat mendidik masyarakat bagi mematuhi SOP ditetapkan.

"Justeru, sama-sama kita menghormati keputusan kerajaan dan rasa bersyukur dengan kelonggaran diberikan," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditukar status PKP Bersyarat (PKPB) sementara enam negeri PKPB ditukar status PKP Pemulihan (PKPP).

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes Covid-19 di seluruh negara menunjukkan trend penurunan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 3:56 PM