Hajiji Noor menerima suntikan Vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
Hajiji Noor menerima suntikan Vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech. FOTO MALAI ROSMAH TUAH.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri yang bermula hari ini menyaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech itu.

Beliau antara 60 individu terawal yang menerima vaksin berkenaan bersama menteri kabinet, pegawai kerajaan negeri termasuk 48 petugas barisan hadapan di negeri ini.

Turut menerima vaksin hari ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya.

Selain itu, bagi golongan petugas barisan hadapan yang menerima vaksin termasuk Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Hajiji yang berkongsi pengalamannya selepas itu berkata, beliau tetap berasa sihat selepas berehat selama 30 minit sebaik disuntik vaksin.

"Saya rasa biasa sahaja, tidak sakit. Ia sama saja macam kita menerima suntikan kalau kita sakit.

"Jadi kita tidak perlu bimbang dan anggapan rakyat fikir bahawa menerima suntikan ini membawa mudarat adalah tidak betul.

"Ini (suntikan vaksin) akan melindungi kita daripada jangkitan Covid-19 dan jangan kita mendengar macam-macam cerita di luar sana," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas pelancaran program bertempat di Dewan Serbaguna Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 2:11 PM