AMINUDDIN (kanan) menandatangani plak perasmian Dewan Legasi SMKTM di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar, disaksikan Lee Tian Hock (dua dari kanan) di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
AMINUDDIN (kanan) menandatangani plak perasmian Dewan Legasi SMKTM di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar, disaksikan Lee Tian Hock (dua dari kanan) di Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: Petugas barisan hadapan dari pelbagai jabatan dan agensi di Negeri Sembilan akan menjadi kumpulan pertama yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata vaksin berkenaan dijangka tiba di negeri ini, esok.

Katanya, bagaimanapun jumlah keseluruhan petugas terbabit yang akan menerima suntikan berkenaan belum ditentukan lagi.

"Kerajaan negeri mengambil keputusan memberi laluan kepada petugas barisan hadapan sebagai kumpulan pertama menerima vaksin Covid-19.

"Saya juga bersedia menerima suntikan dalam kumpulan pertama, bagaimanapun keadaan itu belum ditentukan lagi namun saya sudah mendaftarkan diri untuk menerima suntikan vaksin berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan gimik Perasmian Dewan Legasi Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (SMKTM) Port Dickson di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar, di sini, petang ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Datuk Lee Tian Hock, Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts Ho Kong Soon, Yang Dipertua Persatuan

Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKTM P Balan serta Pengetua SMKTM Razali Taib.

Mengulas lanjut sama ada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu termasuk antara kumpulan penerima awal vaksin berkenaan, Aminuddin berkata, keadaan itu juga belum ditetapkan.

Beliau berkata, terdapat kalangan Ahli Parlimen dan Adun yang menarik diri daripada mendaftar awal kerana mereka ingin melihat keberkesanan vaksin berkenaan terlebih dahulu.

"Saya berharap semua peringkat masyarakat di Negeri Sembilan bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama ini kerana ia penting untuk kesihatan dan menyekat penularan wabak ini," katanya.

Sementara itu, beliau menghargai sokongan Matrix Concepts yang membantu membina dewan sekolah SMKTM berharga RM1.2 juta, walaupun sekolah itu terletak dalam kawasan estet dan di luar bandar.

Katanya, pihaknya percaya dewan dilengkapi dengan kemudahan gelanggang badminton, pentas, bilik persalinan dan siaraya itu akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya warga sekolah serta masyarakat sekitar.

"Saya percaya Dewan Legasi ini juga menjadi kebanggaan pelajar SMKTM untuk menggunakannya dengan baik bagi membantu membina kecemerlangan sekolah, sama ada dalam bidang korikulum dan kokurikulum," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 5:40 PM