FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir individu yang tidak hadir pada janji temu penerimaan suntikan vaksin fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang bermula Isnin lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan terdapat 102 penerima vaksin tidak hadir pada hari pertama program itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pejabat Daerah dan Tanah, Jempol dekat sini, dan Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini.

"Kita kata sayang kepada petugas barisan hadapan, tetapi, bila kita tak datang, kita sebenarnya menyusahkan mereka kerana mereka terpaksa mencari pengganti pada saat akhir.

"Masyarakat Negeri Sembilan mesti mematuhi jadual yang ditetapkan, kalau tidak mahu, beritahu awal-awal dan jangan membatalkannya pada saat akhir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, antara alasan diberikan mereka yang gagal hadir ialah seperti tidak tahu tarikh dan ada yang tiba-tiba menukar fikiran tidak mahu menerima suntikan vaksin.

"Saya berharap perkara ini tidak berulang dan masyarakat Negeri Sembilan harus hargai komitmen yang diberikan petugas barisan hadapan.

"Setakat Isnin lalu, sebanyak 44 peratus rakyat negeri ini telah mendaftar menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 5:56 PM