PENIAGA menunjukkan memorandum bantahan yuran bulanan dikenakan MPKj. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
PENIAGA menunjukkan memorandum bantahan yuran bulanan dikenakan MPKj. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Langat: "Mana mampu kami (peniaga) nak bayar RM150 sebulan kerana keuntungan kami sedikit sahaja apatah lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini," kata Sarizan Ismail, 56, peniaga makanan di Pekan Batu 18, di sini.

Sarizan berkata, dia dimaklumkan oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bahawa peniaga di kawasan berkenaan perlu membuat bayaran bulanan sebanyak RM150.

"Sebelum ini, pihak MPKj ada datang ke kawasan ini dan meminta kami (peniaga) membuat permit. Saya bersama peniaga lain kemudian membuat permohonan berkenaan tanpa menjelaskan mengenai pembayaran bulanan.

"Kami terkejut apabila dimaklumkan perlu membuat pembayaran bulanan RM150 ketika mengambil permit berkenaan di pejabat MPKj, Rabu lalu. Malah, kami juga diminta untuk membayar RM185 untuk bayaran bulanan, permit dan lain-lain ketika mengambil permit berkenaan," katanya ketika ditemui di Pekan Batu 18, di sini.

Dia yang sudah berniaga lebih 22 tahun di kawasan itu berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan MPKj yang tidak memberikan sebab atau alasan khusus untuk mengenakan bayaran bulanan.

"Kedai ini dibina kami sendiri di atas tanah kawasan pekan ini tanpa seliaan MPKj. Namun, tiba-tiba mereka (MPKj) minta kami bayar RM150 setiap bulan selepas mohon permit.

"Sejujurnya, saya tidak mampu untuk bayar yuran bulanan itu kerana kedai saya hanya dibuka pada hujung minggu ketika ini memandangkan jumlah pembeli berkurangan kerana PKP.

"Anggaran keuntungan saya peroleh kira-kira RM50 sehari selepas ditolak modal. Itu tidak lagi termasuk bil air dan elektrik yang digunakan kedai ketika beroperasi," katanya.

Seorang peniaga makanan di kawasan sama, Roziah Lutan, 47, berkata, yuran bulanan itu membebankan peniaga sepertinya yang hanya mengaut keuntungan sedikit setiap hari.

"Saya berniaga di kawasan ini sejak tiga tahun lalu dan menyewa tapak kedai daripada pemilik pada harga RM100 sebulan. Jika ditambah lagi bayaran bulanan kepada MPKj, pastinya ia akan menambahkan beban kepada saya," katanya.

Roziah berkata, dia berharap MPKj akan meneliti semula perkara ini supaya peniaga di kawasan berkenaan tidak dibebani dengan bayaran bulanan itu.

"Jika hanya dikenakan RM150 setahun, mungkin kami boleh pertimbangkan. Namun apabila jumlah itu perlu dibayar setiap bulan, ia akan menjadi bebanan kepada kami untuk dilangsaikan," katanya.

Terdahulu, peniaga di kawasan itu menyerahkan memorandum bantahan bayaran yuran bulanan kepada MPKj serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MPKj Kamarul Izlan Sulaiman dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil maklum aduan dikemukakan penjaja terbabit dan akan mempertimbangkan cadangan serta penambahbaikan.

Menurutnya, MPKj mempertimbangkan permohonan Permit Perniagaan Sementara Pasca Covid-19 kepada 11 peniaga di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, katanya, semua jenis perniagaan dijalankan di kawasan MPKj perlu dilesenkan atau dipermitkan sebelum dibenarkan beroperasi.

"Berdasarkan bancian dilakukan pada 25 November 2020, terdapat hampir 20 binaan tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan dan aktiviti perniagaan tanpa kelulusan dijalankan di lokasi berkenaan.

"Justeru itu, kami (MPKj) mengambil inisiatif mempermitkan aktiviti penjajaan di kawasan terbabit dengan mengenakan fi sebanyak RM150," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 5:34 PM