Nurul Hidayah Bahaudin


PASAR Kajang lengang berikutan jumlah pengunjung berkurangan apabila dibuka semula selepas 12 hari ditutup berikutan terdapat kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati tiada pengunjung yang berbaris untuk memasuki pasar berkenaan seperti sebelum ini ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Malah, jumlah peniaga dilihat lebih ramai berbanding pengunjung di kawasan terbabit.

Peniaga kedai runcit, Abdul Khalid Ahmat, 48, berkata hanya lima pengunjung yang datang ke kedainya selepas ia dibuka semula, semalam.

"Selepas penutupan sejak 21 Mei lalu, pasar ini amat lengang dan sunyi dengan kehadiran pengunjung. Keadaan ini mungkin kerana orang ramai takut untuk datang selepas dimaklumkan ada kes positif Covid-19 di sini.

"Pada masa sama, orang ramai mungkin tidak mengetahui pasar ini sudah dibuka semula bermula semalam," katanya ketika ditemui di Pasar Kajang, hari ini.

Abdul Khalid berkata, dia dimaklumkan peniaga lain mengenai penutupan pasar berkenaan kira-kira 7 malam pada 21 Mei lalu.

"Dia (rakan) memberitahu ada kes positif Covid-19 di pasar ini membabitkan pekerja warga asing menyebabkan ia ditutup untuk proses sanitasi.

"Sebelum ini juga, kami (peniaga) ada diarahkan menjalani ujian saringan pada 18 Mei lalu serta menjalani kuarantin di rumah sebelum menjalani satu lagi ujian buat kali kedua pada 29 Mei lalu.

"Saya kemudian dimaklumkan mengenai keputusan ujian saringan iaitu negatif pada hari sama (29 Mei)," katanya.

Sementara itu, pemilik restoran, Masrina Mohamad, 41, berkata walaupun dia mengetahui mengenai kes positif Covid-19 di pasar berkenaan, namun dia memilih untuk membeli barang keperluan di lokasi terbabit kerana terdapat lebih banyak pilihan.

"Sebelum ini, memang setiap hari saya datang ke pasar ini untuk membeli barang keperluan kerana ada pelbagai pilihan barangan selain harga lebih murah serta segar berbanding pasar raya.

"Walaupun ada kes positif Covid-19 dilaporkan di pasar ini, namun saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan sering menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai pelitup muka serta menjaga jarak ketika membeli barangan," katanya.

Terdahulu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memaklumkan Pasar Kajang ditutup bagi proses sanitasi pada 21 Mei lalu sebelum ia dibuka semula bermula semalam.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 2:55 PM