NIZAM bersama anak melihat keadaan Nur Jannah yang terlantar selepas kemalangan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
NIZAM bersama anak melihat keadaan Nur Jannah yang terlantar selepas kemalangan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: "Saya tidak dapat berniaga selepas isteri terbabit kemalangan jalan raya. Sebaik sedar daripada koma, keadaannya tidak lagi seperti dulu," kata peniaga ayam goreng, Nizam Aradin, 45, ketika ditemui di rumahnya di Blok A, Sawah Sempadan, di sini, hari ini.

Nizam berkata, isterinya, Nur Jannah Mohd Dimyati, 31, terbabit kemalangan pada 25 September tahun lalu selepas dipercayai melanggar babi ketika menunggang motosikal bersama anak sulung untuk ke pekan Tanjong Karang.

"Dia mengalami pendarahan di kepala dan cedera di dada manakala anak sulung pula mengalami luka kecil.

"Isteri dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) susulan kecederaan dialami," kata bapa kepada tiga anak berusia dari sembilan hingga tiga tahun.

Nizam berkata, Nur Jannah dibenarkan pulang dari hospital pada pertengahan Oktober tahun lalu dan keadaannya tidak lagi seperti dulu.

"Kemalangan itu mengakibatkan isteri tidak boleh berkomunikasi dan hilang daya ingatan.

"Dia perlu diuruskan seperti bayi dan bergantung sepenuhnya kepada susu khas yang perlu diberi setiap empat jam sekali melalui saluran tiub yang dipasang pada hidungnya," katanya.

Menurutnya, keadaan Nur Jannah yang perlu dipantau setiap masa juga menyebabkan dia tidak boleh bekerja selain sukar menumpukan perhatian terhadap perniagaan lain iaitu membuat jeriji.

"Sebelum ini, saya ada mengambil tempahan membuat jeriji rumah. Namun, disebabkan isteri tidak boleh mendengar bunyi bising berikutan kecederaan yang dialami, saya tidak dapat meneruskan kerja itu," katanya.

Nizam berkata, dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kesemuanya berjumlah RM1,000 sebulan.

"Alhamdulillah, bantuan ini saya gunakan untuk membeli keperluan dan perbelanjaan kami sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, Nizam berkata, doktor yang merawat Nur Jannah memberitahu isterinya mungkin sembuh dalam tempoh enam bulan.

"Saya dan adik-beradik isteri bergilir-gilir menjaganya dan berharap dia kembali sembuh seperti sedia kala.

"Setiap hari, isteri memberitahu yang dia rindu untuk peluk dan dakap anak-anak. Walaupun terbaring di atas katil, naluri keibuan itu tidak pernah padam dan saya mengharapkan keajaiban (sembuh) itu tiba satu hari nanti.

"Alhamdulillah, dengan izin Allah, isteri ada menunjukkan perubahan positif sejak sebulan lalu yang mana dia boleh bercakap dan ingatannya beransur pulih selain boleh menggerakkan anggota badan," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nizam iaitu (0880041000082320) atau menghubunginya di talian 017-3271772.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 11:13 AM