MUHAMMAD Syahir menunjukkan keadaan cermin kereta yang pecah dan batu yang digunakan oleh pelaku di depan rumahnya di Taman Datuk Abdul Samad, Port Dickson. FOTOMohd Khidir Zakaria
MUHAMMAD Syahir menunjukkan keadaan cermin kereta yang pecah dan batu yang digunakan oleh pelaku di depan rumahnya di Taman Datuk Abdul Samad, Port Dickson. FOTOMohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: "Kenapa sanggup pecahkan cermin kereta saya yang dipakir di luar rumah?," kata Muhammad Syahir Shuaimi, 26, ketika ditemui di rumahnya di Taman Datuk Abdul Samad di sini tadi.

Menurutnya, ketika kejadian jam sekitar 4.40 petang semalam, dia terkejut mendengar bunyi dentuman agak kuat di luar rumah.

"Ketika itu saya tidak menyangka perkara buruk dan terus menyambung tugasan tanpa menghiraukan bunyi pelik di luar rumah.

"Kebetulan ayah saya, Shuhaimi Zubir, 61, mahu ke surau berdekatan untuk solat Asar terkejut melihat cermin kereta pecah dan terdapat batu besar melekat di tengah cermin lalu memanggil saya untuk melihat keadaan," katanya.

Katanya, ketika itu pelbagai prasangka buruk bermain dalam fikirannya, mungkin ada orang yang berdendam atau marah kepadanya.

"Malah ayah turut terfikir yang saya ada buat benda salah sehingga membuatkan orang marah namun saya agak bingung memikirkan bagaimana mereka sanggup berbuat demikian.

"Saya terus membuat laporan polis dan difahamkan itu bukan kejadian pertama yang berlaku kerana saya orang kedua membuat laporan," katanya.

Muhammad Syahir berkata, kejadian itu juga turut dikongsi oleh individu lain di Facebook dan antara lokasi kawasan perumahan yang disebut berlakunya kes seperti itu ialah di Taman Belida, Taman PD Utama, Taman Intan Duyung dan Taman Intan Perdana.

" Walaupun sedih kerana perlu menanggung kerugian kira-kira RM1,000 disebabkan kerosakan yang berlaku, saya lega apabila dapat tahu kes ini turut berlaku di tempat lain dan kes ini disengajakan.

" Setidaknya saya tahu kejadian itu berangkai dan orang yang campak batu pada cermin kereta saya ini sengaja buat demikian, cuma saya tidak bernasib baik," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap polis menahan suspek yang melakukan perbuatan khianat ini sebelum lebih ramai yang menjadi mangsa.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi berkata, polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Setakat ini pihak polis menerima 10 laporan polis bermula semalam hingga hari ini daripada mangsa yang cermin kereta dipecahkan pelaku.

"Pihak polis juga menunggu laporan berserta bukti melalui kamera litar tertutup (CCTV) untuk menangkap pelaku dan ia masih dalam siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, khianat dan mohon mana-mana saksi dapat hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 8:35 PM