Cermin belakang kenderaan Shima yang dipecahkan dua lelaki di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun, hari ini. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Cermin belakang kenderaan Shima yang dipecahkan dua lelaki di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun, hari ini. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi

CERMIN belakang kenderaan pemandu Grab Car dipecahkan dua lelaki dengan sebatang besi selepas menurunkan tiga pelajar di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari, mangsa mahu dikenali sebagai Shima, 40-an, mendakwa terkejut didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal lalu menghayun sebatang besi menyebabkan cermin belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream miliknya pecah.

Shima berkata, dia tidak tahu motif dua lelaki berkenaan sambil mendakwa mungkin perbuatan pihak tertentu yang menganggap kehadiran pemandu Grab Car mengambil pelajar di kawasan itu mengganggu periuk nasi mereka.

"Saya hanya mengambil pelajar di kolej ini sejak tiga minggu lalu, dan rakan pemandu Grab Car lain turut diganggu pemandu teksi yang menghalang kami datang ke sini.

"Malah, mereka memberi amaran supaya jika ingin mengambil penumpang perlu berada kira-kira 500 meter dari kolej terbabit," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Jitra, hari ini.

Katanya, sebelum kejadian itu, kira-kira jam 11 pagi kenderaannya turut dikepung empat buah teksi yang berang kerana dia mengambil penumpang di kolej terbabit, namun berjaya melarikan diri.

"Namun selepas mengambil pelajar di sebuah pasar raya di Changlun yang ingin pulang ke kolej terbabit, tiba-tiba kejadian ini berlaku sedangkan saya menurunkan mereka 500 meter dari kolej itu.

"Saya tidak berani hendak menuduh sesiapa, namun tindakan lelaki terbabit mungkin ada kaitan dengan pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan tindakan kami mengambil penumpang, di sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima dua laporan polis membabitkan pemandu Grab Car iaitu cermin kereta dipecahkan dan kereta diketuk, hari ini.

"Dalam kes pecah cermin, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, namun siasatan lebih terarah kepada dua individu menaiki motosikal itu.

"Ketika kejadian motosikal itu juga tidak mempunyai nombor pendaftaran dan setakat ini tiada bukti ia berkaitan dengan perbuatan pemandu teksi," katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam kes ketuk kereta pula siasatan awal mendapati ia dilakukan pemandu teksi dan mereka juga sudah dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan.

"Namun, kita tidak membuka kertas siasatan sebaliknya meminta pemandu terbabit merujuk kes itu ke mahkamah untuk tindakan sivil dan melaporkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)," katanya.

caption

Cermin belakang kereta Shima yang dipecahkan dua lelaki tidak dikenali di Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun.

#kw Cermin pecah, Grab Car

#loc 6.4270129999999996, 100.4176945

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 8:36 PM