- Foto hiasan
- Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Tiga lelaki ditahan polis semalam selepas terbabit dalam kejadian pergaduhan dan pecah cermin kereta akibat masing-masing sebelum ini mempunyai masalah kejiranan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 4.15 petang itu, lelaki berusia 49 tahun menunggang motosikal berdekatan lampu isyarat Taman Permata, Hulu Kelang, mendapati sebuah teksi henti secara mengejut.

Menurutnya, dia kemudian turun dari motosikalnya dan menarik keluar pemandu teksi terbabit dan menegur cara pemanduannya sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

"Selepas itu, lelaki terbabit pulang ke rumah sebelum membawa sebatang besi disyaki absober kereta dan memecahkan cermin kereta bahagian kanan belakang teksi dan cermin bahagian pemandu kereta Proton Satria milik adik pemandu teksi di kawasan pasar raya di Taman Permata.

"Selepas itu, pemandu teksi dan adiknya pergi ke rumah lelaki itu di Taman Pertama dan memukul serta mengugut lelaki itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pihak polis menerima laporan daripada kedua-dua pihak di mana tangkapan dibuat ke atas pemandu teksi dan adiknya berusia 25 dan 26 tahun.

"Mereka ditahan atas kesalahan ugutan dan mencederakan manakala seorang lagi lelaki ditangkap atas kesalahan khianat iaitu memecahkan cermin kereta. Mereka semua direman empat hari bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis mendapati, lelaki terbabit dan keluarga pemandu teksi ini tinggal di kawasan perumahan yang sama dan mempunyai masalah kejiranan sebelum ini.

"Bagi laporan polis yang dibuat oleh lelaki itu, kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun keseksaan sementara laporan dibuat pemandu teksi pula disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 1:45 PM