Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Majlis akad nikah dibenarkan di Pejabat Agama dan masjid dengan kehadiran ahli keluarga.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membenarkan kehadiran maksimum 20 orang tidak termasuk jurunikah dan saksi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, upacara akad nikah di pejabat agama dan masjid adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri, maka ia perlu mendapat kelulusan pihak berkenaan.

"Kerajaan hanya bersetuju mencadangkan perkara ini," katanya dalam sidang media hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, upacara pernikahan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dibenarkan dengan had maksimum 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan fizikal satu meter.

Katanya, bagi upacara pernikahan di kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula dibenarkan kehadiran mengikut keluasan premis.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat hari ini turut membincangkan majlis resepsi perkahwinan bagi bukan Islam.

"Namun, perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Perpaduan Negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 6:37 PM