Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Permohonan menganjurkan majlis perkahwinan akan ditolak sekiranya lokasi penganjuran tidak mampu menampung kapasiti jemputan yang terlalu ramai.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak melakukan demikian sekiranya tempat dicadangkan penganjur tidak sesuai bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Kita ingatkan penganjur supaya mengadakan majlis dengan jumlah jemputan yang sesuai (dengan tempat) bagi mengelak permohonan ditolak.

"Tindakan tegas ini kerana pihak kita mahu semua penganjur mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19," katanya ketika ditemui pada Program Ketua Polis Kelantan Bersama Komuniti Balai Polis Nilam Puri sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke- 214 di sini, hari ini.

 Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (kiri) beramah mesra dengan sebahgian penduduk setempat ketika  hadir pada Program Ketua Polis Kelantan bersama Komuniti Balai Polis Nilam Puri sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke- 214 di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (kiri) beramah mesra dengan sebahgian penduduk setempat ketika hadir pada Program Ketua Polis Kelantan bersama Komuniti Balai Polis Nilam Puri sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke- 214 di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Shafien berkata, semua Ketua Polis Daerah (KPD) juga sudah diarahkan supaya menyediakan borang permohonan yang mempunyai format khas untuk diisi penganjur majlis perkahwinan bagi memudahkan pemantauan.

"Dalam borang itu penganjur perlu mengisi lokasi majlis dan berapa jumlah jemputan mereka, dengan jumlah jemputan mestilah tidak melebihi had. Ini kerana sebelum ini ada yang tidak menyatakan maklumat itu," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin sebagai berkata, antara punca peningkatan semula kes Covid-19 di Kelantan kerana penganjuran majlis perkahwinan tanpa permit polis.

Katanya, kebanyakan majlis dianjur juga tidak mematuhi SOP ditetapkan termasuk jumlah tetamu melebihi had.

Dalam pada itu, Shafien berkata, anggota polis akan diletakkan di setiap bazar Ramadan bagi memantau dan memastikan peniaga serta pengunjung mengikut SOP mencegah wabak berkenaan.

"Pasukan pemantau itu untuk memastikan bazar Ramadan berjalan lancar. Seperti solat Jumaat, semua jemaah yang hadir mematuhi SOP yang sangat tinggi termasuk memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mac 2021 @ 2:03 PM