GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) bersetuju dan senada dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah, berkaitan keharaman hukum merentas negeri yang ditetapkan kerajaan untuk tujuan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

JMNPk melalui Bahagian Fatwa pada kenyataan berkata, pertimbangan terhadap masalah yang lebih umum iaitu berkaitan kebimbangan penularan Covid-19 perlu didahulukan berbanding masalah khusus yang bersifat individu.

Katanya, hukum yang dikeluarkan didasari kepada dua rujukan utama iaitu larangan Rasulullah SAW untuk keluar masuk ke tempat berlakunya wabak taun selain kewajipan mentaati ulil amri (penguasa) terhadap sesuatu perintah untuk kemaslahatan semua, selagi tidak bercanggah dengan syarak.

"Data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan peningkatan kes baru dan kematian yang mendadak (bagi) pesakit Covid-19 amat membimbangkan.

"Kaedah fiqh juga menyebutkan: "Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat."

"Justeru, adalah wajar tidak membenarkan mana-mana pihak yang tidak mempunyai alasan syarie untuk melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh ulil amri (pemimpin)," katanya pada kenyataan yang dikongsikan di Facebook rasmi JMNPk semalam.

Katanya, keharaman bersebab itu bukanlah hukum popular pada waktu ini namun memandangkan ia diucapkan oleh individu bertaraf mufti, maka ia sudah memadai sebagai panduan umum kepada masyarakat terhadap masalah semasa biarpun ia bukanlah bersifat suatu fatwa.

Menurutnya, kenyataan Dr Luqman yang mungkin diteliti oleh masyarakat secara beremosi dan sentimen semasa berserta olahan berita yang tidak membantu dalam memahami konteks sebenar ulasan mengenainya.

Justeru, kenyataan itu menimbulkan kesan segera berbentuk cemuhan, sindiran dan jenaka khususnya dalam kalangan netizen.

"Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan itu bersifat irsyad hukum (petunjuk hukum) yang sewajarnya membantu mententeramkan jiwa-jiwa yang bersedih dan berduka kerana tidak dapat beraya di kampung bertemu insan tersayang.

"Sifat mukmin yang baik, akan tunduk bila berhadapan dengan hukum, malah jauh sekali menyanggahinya. Dari sudut lain, kita yakini pandangan itu adalah lontaran ilmu seseorang yang diakui berkelayakan mengeluarkan hukum biarpun berdepan risiko cemuhan dan sindiran masyarakat," katanya.

Katanya lagi, masyarakat perlu ingat bahawa perbandingan yang dibuat mengenai perbezaan layanan antara rakyat biasa dan golongan yang digelar sebagai 'kayangan' tidak sama sekali menjejaskan keabsahan hukum asal iaitu haram merentas negeri tanpa kebenaran.

"Setiap orang berstatus 'hamba Allah SWT', walau apa kedudukannya, maka dia bertanggungjawab atas amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya tanpa prejudis di hadapan Allah SWT kelak.

"Pihak Ulil Amri (pemerintah) memerlukan nasihat yang baik dan berhikmah daripada rakyat yang baik dan berhemah, bukannya cemuhan dan makian yang dipapar secara umum di media sosial. Penzahiran ketidakpuasan hati boleh disalurkan menurut mekanisme dan perantara yang pelbagai," katanya.

Kenyataan itu menambah, umat Islam seharusnya memiliki ketinggian adab yang mulia dalam menghormati pandangan daripada Ashab al-Samahah (para mufti) yang biarpun berbeza dengan selera individu, namun tetap berkeyakinan terhadap ketelitian mereka dalam mengutarakan sesuatu hukum.

"Penghormatan kepada mufti dan institusi mufti dan fatwa adalah terjemahan terhadap penghormatan kepada (agama) Islam itu sendiri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 3:03 PM