Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.
Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah.
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Umat Islam di negara ini dinasihatkan kekal teguh dalam memelihara kedaulatan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, walaupun dukacita dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu meluluskan penggunaan kalimah Allah, solat, Baitullah dan Kaabah bagi tujuan pendidikan dan keagamaan oleh masyarakat bukan Islam baru-baru ini, namun pihaknya percaya isu ini akan diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni dalam masa terdekat oleh pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, beliau mengingatkan bahawa sebarang hal yang menyentuh berkenaan agama secara tidak langsung berkait dengan nilai sensitiviti mesti dijaga dengan baik.

"Sekiranya isu ini tidak dapat diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni dibimbangi ia bakal mencetuskan ketegangan di antara agama serta kaum," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Rabu lalu media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumur memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Keputusan kes itu mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008 oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Luqman berkata, pada masa sama, pihaknya berharap agar umat Islam di negara ini terus kekal bersatu atas dasar aqidah Islam yang sahih berteraskan Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, bersatunya umat Islam adalah asas pembinaan Khayra Ummah (umat yang terbaik) sekali gus menjadi teladan kepada sekalian umat manusia.

"Dalam tempoh pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara, umat Islam dinasihatkan mengukuhkan tahap keimanan kepada Allah SWT.

"Umat Islam juga dinasihatkan untuk berusaha memelihara ibadah seperti kewajipan solat fardu lima waktu, mendekatkan diri kepada Allah menerusi zikir munajat, berdoa, menjaga adab serta tatasusila berasaskan akhlak Rasulullah SAW," katanya.

Jelas beliau, kesemua perkara itu akan menjadi dasar kekuatan umat Islam dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 4:00 PM