MUHAMMAD Adli melihat keadaan rumah didiami keluarganya yang terbakar dalam kejadian di Kampung Merbau Patah. FOTO Zaid Salim
MUHAMMAD Adli melihat keadaan rumah didiami keluarganya yang terbakar dalam kejadian di Kampung Merbau Patah. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim

Kuala Terengganu: Jeritan kanak-kanak lelaki menyelamatkan 14 ahli keluarganya termasuk dua bayi dalam kebakaran di Kampung Merbau Patah, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku 3 petang itu mengakibatkan keluarga besar berkenaan kini tinggal sehelai sepinggang apabila semua pakaian, barangan, dua motosikal dan kereta serta dokumen penting hangus.

Mangsa, Mohd Johan Sidek, 49, berkata pelbagai barangan kemas milik isteri dan anak dianggarkan lebih RM10,000 dan wang simpanan upah menjual kuih milik anak sebanyak kira-kira RM1,000 turut hangus.

Dia yang mengusahakan kedai makan bersama keluarga di Pasar Borong Gong Pauh, di sini, berkata kejadian berlaku sangat pantas menyebabkan mereka gagal menyelamatkan semua harta benda.

"Kami hanya fikir untuk menyelamatkan diri sahaja apabila melihat api semakin marak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Johan yang menyewa kediaman itu sejak lapan tahun lalu berkata, ketika kejadian dia dan beberapa lagi ahli keluarga sedang tidur selepas pulang dari berniaga pada 11.30 pagi.

Menurutnya, dia yang tidur di ruang tamu dikejutkan isteri, Rohaida Bakar, 43, apabila mendengar jeritan anak bongsu, Muhammad Adlan, 5, yang panik melihat api menjulang dalam bilik tidurnya.

"Saya reda dengan kejadian ini dan bersyukur semua ahli keluarga terselamat termasuk dua cucu, Nur Raisya berusia dua bulan dan Nur Aira, 2," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata,. seramai 33 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 3.15 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah yang sepenuhnya diperbuat daripada kayu.

"Dalam kejadian ini seorang lelaki berusia 19 tahun turut melecur pada tangan dipercayai terkena percikan api ketika menyelamatkan diri," katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 8:46 PM