Anggota bomba membantu memadam kebakaran membabitkan sembilan rumah kedai di Kampung Baru, Jalan Tunku Abdul Halim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Anggota bomba membantu memadam kebakaran membabitkan sembilan rumah kedai di Kampung Baru, Jalan Tunku Abdul Halim. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Saya masuk ke semua sembilan rumah kedai yang terbakar untuk memastikan tiada sesiapa terperangkap. Saya juga sempat mengelak alang kayu yang terjatuh sebelum menyelamatkan diri," kata Saw Boon Seng, 60.

Pada kejadian kebakaran jam 1 tengah hari tadi, sembilan rumah kedai di Kampung Baru, Jalan Tunku Abdul Halim dekat sini, hangus.

Ketika kejadian, kesemua 15 mangsa yang menghuni rumah kedai itu dapat menyelamatkan diri.

Difahamkan, sebahagian besar mangsa yang menetap di situ terdiri daripada golongan pertengahan dan warga emas berusia 40-an hingga 80-an malah ada yang tinggal seorang diri.

Menurut Boon Seng, dia memberanikan diri untuk masuk ke setiap rumah kedai terbabit.

"Pada mulanya, saya terdengar jeritan sebelum nampak beberapa rumah kedai terbakar.

"Saya terus masuk ke rumah kedai terbabit namun semua mangsa sudah berjaya menyelamatkan diri," katanya.

Theresa Prai Naigam, 60, pula sedang menonton televisyen di tingkat bawah rumah kedai itu ketika kejadian.

"Saya terbau asap sebelum terus berlari keluar. Saya gagal menyelamatkan barangan berharga berikutan api marak dengan pantas.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana kami selamat," katanya.

Jirannya, Ong Cha Bu, 77, berkata, dia cukup sedih kerana kediaman dihuni sejak dia 70 tahun lalu musnah sekelip mata.

"Ketika melihat api marak membakar kediaman, saya cukup sedih kerana tiada apa yang dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, daripada sembilan rumah kedai itu, lima daripadanya musnah 100 peratus.

"Empat lagi musnah antara 50 hingga 90 peratus. Turut musnah sebuah Proton Persona, sebuah Perodua Viva dan sebuah Honda C70.

"Operasi memadam api membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah dan pasukan dari BBP Jalan Raja serta 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 8:00 PM