MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO ASYRAF HAMZAH
MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO ASYRAF HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Bentong dan Kuarters Kakitangan serta Penjara Taiping termasuk kuarters kakitangannya dilanjutkan bermula esok sehingga 22 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dilakukan atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, KKM mengesahkan masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 dan baki sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan.

"Masih terdapat peningkatan kes positif di Penjara Bentong iaitu 13 kes positif terakhir dilaporkan pada 5 Februari lalu.

"Sehingga kini, 2,085 ujian saringan dilaksanakan membabitkan tahanan, kakitangan dan kontak rapat. Daripada jumlah itu secara kumulatif 767 kes positif Covid-19 direkodkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi Penjara Taiping pula, KKM melaksanakan 544 ujian saringan dan mendapati 112 kes positif direkodkan merangkumi 90 banduan, 21 kakitangan serta seorang ahli keluarga.

Beliau berkata, KKM turut mengesahkan terdapat sejumlah 40 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan dan terdapat tahanan masih bergejala.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD Penjara Jelebu di Negeri Sembilan ditamatkan pada hari ini.

"KKM mengesahkan semua 49 kes positif yang ditempatkan di Blok Transit (Blok Muhasabah) sembuh sepenuhnya dan didiscaj serta 69 orang tahanan tamat tempoh kuarantin.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Blok Transit (Blok Muhasabah) Penjara Jelebu, pada hari ini seperti dijadualkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 6:20 PM