FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan akan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi di Johor dan Negeri Sembilan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ditamatkan membabitkan Pusat Koreksional Johor Bahru, kuarters kakitangan Batu 19, Jalan Ulu Choh-Pontian, asrama pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai di Johor.

Lokasi lain ialah Penjara Jelebu dan kuarters kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan kuarters kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru yang dijadualkan tamat esok.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selesai melaksanakan 1,402 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 1,015 kes positif Covid-19 direkodkan.

"KKM mengesahkan, kes yang dilaporkan di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta terkawal. Kes terakhir yang dilaporkan adalah pada 13 Januari lalu.

"Atas perkara itu, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di sini esok," katanya pada kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD asrama pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai dijadualkan tamat pada 29 Januari ini.

Menurut beliau, sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 1,978 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 692 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Pelaporan kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.

"Selain itu, KKM turut mengesahkan, 23 baki kes aktif tamat tempoh isolasi pada hari ini. Kerana itu kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di kawasan ini lebih awal daripada dijadualkan," katanya.

Beliau berkata, PKPD Penjara Jelebu dan kuarters kakitangan Penjara Jelebu juga ditamatkan esok kecuali di Blok Transit (Blok Muhasabah) yang dilanjutkan bermula 25 Januari hingga 7 Februari.

"Sehingga kini, KKM selesai melaksanakan 2,775 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 908 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Bagaimanapun, KKM mengesahkan, 49 kes aktif masih dirawat di PKRC dan 69 orang (kontak rapat) yang masih dalam tempoh Pengawasan dan Pemerhatian di rumah atau (HSO) sedang ditempatkan di Blok Transit (Blok Muhasabah)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:27 PM