ANTARA arak yang dirampas dalam dua serbuan berasingan disekitar kawasan perindustrian Bukit Gambir Tangkak dan Bukit Serampang di Sagil oleh Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Muar.
ANTARA arak yang dirampas dalam dua serbuan berasingan disekitar kawasan perindustrian Bukit Gambir Tangkak dan Bukit Serampang di Sagil oleh Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) Muar.
Ahmad Ismail.

Tangkak: Remaja berusia 17 tahun antara sembilan individu ditahan, semalam, selepas dipercayai terbabit dengan sindiket pemprosesan dan penyeludupan minuman keras di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, kesemua individu berusia antara 17 hingga 40-an itu ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri, Muar.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama pada 7 malam di Kawasan Perindustrian Bukit Gambir di sini, polis merampas 5,600 liter cecair dipercayai arak yang disimpan dalam 28 tong biru.

"Hasil serbuan turut menahan empat lelaki warga tempatan termasuk remaja masih bersekolah berusia 17 tahun.

"Siasatan mendapati, sindiket ini beroperasi sejak lapan bulan lalu. Siasatan mendapati, cecair arak dalam tong itu akan diisi semula ke dalam botol sebelum diedar untuk dijual," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini, hari ini.

Mohd Fadhil berkata, serbuan kedua pada 11.50 malam di Bukit Serampang, Sagil, di sini, pihaknya menemui lapan tong berkapasiti 1,600 liter cecair dipercayai arak.

"Polis menahan seorang lelaki tempatan dan empat warga Indonesia berusia lingkungan 20 tahun hingga 40-an, selain merampas sembilan botol berisi arak berkapasiti 3.37 liter dan 1,359 botol arak kosong pelbagai jenis.

"Siasatan mendapati mereka baharu sahaja aktif menjalankan aktiviti sejak dua ke tiga bulan lalu, namum polis percaya kedua-dua serbuan ini ada kemungkinan didalangi sindiket sama berikutan tong dan botol arak digunakan adalah jenis sama," katanya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula hari ini, manakala warga Indonesia pula direman mengikut Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 74 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 6:05 PM