KAMARUL Zaman menunjukkan pelbagai barangan kes yang dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO Izz Laily Hussein.
KAMARUL Zaman menunjukkan pelbagai barangan kes yang dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO Izz Laily Hussein.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis Johor menumpaskan satu sindiket penyeludupan arak dan pengedaran dadah selain berjaya membongkar sebuah makmal dadah di Kawasan Perindustrian Pasir Puteh, Pasir Gudang di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima lelaki ditahan dalam tiga serbuan berasingan, termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dipercayai menjadi dalangnya.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam, antara jam 11 pagi sehingga 8 malam di sebuah kilang.

"Polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua warga asing berusia 26 hingga 46 tahun selepas kita melakukan pemeriksaan ke atas 11 kontena dan menemukan 7,910 kotak mengandungi 189,840 tin arak tanpa cukai bernilai RM5.53 juta di kilang berkenaan.

"Kita percaya sindiket ini membawa masuk arak tanpa cukai, kemudian disimpan dalam kontena sebelum dihantar berdasarkan pesanan yang diterima di Johor Bahru.

"Kegiatan ini dipercayai aktif beroperasi sejak November tahun lalu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, menerusi serbuan di kilang itu, pihaknya menemukan sebuah makmal mini yang dijadikan tempat memproses dadah jenis ekstasi bersama sejumlah dadah dan peralatan memproses bahan terlarang itu.

Katanya, pada jam 7 malam kelmarin sehingga 4 petang semalam, polis melancarkan dua lagi serbuan di daerah ini sebelum menahan dua lelaki berusia 46 dan 54 tahun termasuk yang bergelar Datuk.

Katanya, modus operandi kegiatan pengedaran dadah itu pula adalah dengan menjadikan sebahagian kabin kontena di kawasan itu sebagai tempat pemprosesan dan simpanan dadah jenis ekstasi sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

"Kegiatan pengedaran dadah ini aktif beroperasi sejak Jun lalu. Dalam serbuan itu, kita merampas satu tong mengandungi 22.84 kilogram serbuk ekstasi, 2,320 biji pil ekstasi seberat 696 gram dan 10 tong serta tiga botol mengandungi 182.90 liter cecair kimia.

"Jumlah nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM1.79 juta," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas mesin dan peralatan memproses dadah selain menyita 10 kenderaan, pelbagai barang kemas dan wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM235,397 dengan keseluruhan nilai sitaan berjumlah RM3.04 juta.

"Jumlah nilai rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini adalah RM4.83 juta. Jumlah nilai rampasan dadah, sitaan dan arak tanpa cukai kastam bagi operasi ini pula adalah sebanyak RM10.37 juta," katnya.

Pada masa sama, Kamarul Zaman berkata, semua suspek direman selama empat hari bermula kelmarin hingga Jumaat ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; Seksyen 6 (1)(2) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002); Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 1:04 PM