Mohd Fadhil (kanan) menunjukkan gambar ketika serbuan di kebun durian sekitar Sagil. FOTO Ahmad Ismail
Mohd Fadhil (kanan) menunjukkan gambar ketika serbuan di kebun durian sekitar Sagil. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Tangkak: Sindiket proses arak tiruan dikesan menjadikan sebuah gudang di kebun durian di Sagil, di sini, sebagai tempat penyimpanan.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 6 Bakri, Muar menyerbu gudang berkenaan pada 10.30 malam Khamis lalu dan menahan lapan lelaki tempatan berusia 15 hingga 69 tahun.

"Hasil pemeriksaan menemukan 261 kotak minuman keras pelbagai jenama membabitkan tin serta botol.

"Kesemua rampasan minuman keras itu termasuk barangan dianggarkan bernilai RM546,055.85. Turut dirampas 11 tong dram antaranya dipercayai mengandungi arak tiruan, satu unit water pump dan tiga unit submersible pump.

"Dalam serbuan itu, polis turut menemukan dua gelung pelekat jenis McDowells, dua pelekat kastam dan sebuah kenderaan motor lori Hino juga motokar Toyota Harrier," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Fadhil berkata, siasatan awal mendapati pemperosesan bekalan arak tidak bercukai itu dipercayai untuk diedarkan sekitar Tangkak, Muar dan Segamat menyasarkan pelanggan warga asing.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 Ogos ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 4:21 PM