Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis membongkar kegiatan sindiket penipuan dikenali 'Iskandar Investment' yang dikesan menjerat mangsa dengan menawarkan keuntungan sehingga lebih 20 kali ganda daripada jumlah pelaburan sejak Januari tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menahan tujuh suspek termasuk tiga wanita yang disyaki terbabit dengan sindiket berkenaan di lima lokasi berasingan di sekitar ibu kota pada 1 Februari lalu.

"Tangkapan awal membabitkan tiga wanita sebelum empat suspek lelaki yang dipercayai dalang sindiket berkenaan ditahan. Semua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 27 tahun.

"Dalam serbuan dilakukan di sebuah apartmen di Setapak yang dihuni empat lelaki terbabit, polis menemui 25 kad ATM, empat komputer riba, sembilan telefon bimbit, dua beg silang, tiga dompet, tiga kenderaan serta wang tunai berjumlah RM64,994 menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM450,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK, di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, polis menerima 41 laporan membabitkan kerugian RM831,054 berhubung sindiket berkenaan.

"Modus operandi sindiket ini adalah meyakinkan mangsa supaya melabur secara dalam talian melalui Facebook bagi menjana wang dengan menjanjikan keuntungan dalam masa 24 jam melalui tiga pakej.

"Pakej pertama adalah Pakej Gold membabitkan pelaburan sebanyak RM350 dengan pulangan dijanjikan sebanyak RM7,350, manakala Pakej Premium pula bermodalkan RM1,350 bagi keuntungan RM28,350.

"Pakej ketiga adalah Pakej Platinum iaitu pelaburan sebanyak RM2,350 dengan pulangan dijanjikan RM49,450. Mengikut perkiraan, sindiket ini menjanjikan pulangan tidak masuk akal kepada pelabur iaitu lebih 20 kali ganda daripada jumlah pelaburan dalam masa singkat," katanya.

ZAINUDDIN menunjukkan wang dan barangan yang dirampas polis. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ZAINUDDIN menunjukkan wang dan barangan yang dirampas polis. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata, suspek yang ditahan dalam kes terbabit adalah 'pencari' bagi keldai akaun dengan menawarkan bayaran antara RM250 hingga RM2,750.

"Dalam kes ini, sebanyak 25 nombor akaun bank dikesan digunakan sindiket berkenaan.

"Semua suspek direman sehingga 8 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan testimoni serta janji palsu ditawarkan sindiket penipuan pelaburan.

"Semak dan dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti Semak Mule, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk melabur.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menyerah dan membenarkan kad ATM mereka diberikan kepada mana-mana individu atau sindiket pelaburan haram bagi mengelak didakwa atas kesalahan bersubahat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 6:01 PM