DR Kasemani (tiga kiri) bersama masyarakat setempat ketika merasmikan hari kanser sedunia peringkat negeri, hari ini. FOTO Baharom Bakar
DR Kasemani (tiga kiri) bersama masyarakat setempat ketika merasmikan hari kanser sedunia peringkat negeri, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar

Kuala Nerus: Seramai 350 atau 56.6 peratus golongan wanita, berbanding hanya 270 atau 49 peratus golongan lelaki menghidap kanser di negeri ini tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, lima kes kanser tertinggi di negeri ini adalah kanser kolorektal, kanser payudara, kanser paru-paru, leukemia dan tiroid.

Katanya, sebanyak 123 atau 19.8 peratus kes kanser kolorektal, payudara (85 kes atau 13.7 peratus), kanser paru-paru (69 kes atau 11.1 peratus), leukemia (45 kes atau 7.2 peratus) dan kanser tiroid membabitkan 29 kes atau 4.7 peratus.

"Kes kanser baharu menunjukkan peningkatan dari 430 kes pada tahun 2021 kepada 575 kes pada 2022 dan seterusnya 621 kes tahun lalu.

"Sebanyak 350 kes kanser atau 56.6 peratus didiagnos dalam kalangan kaum wanita berbanding 270 orang atau 49.0 peratus membabitkan golongan lelaki," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, aktiviti kesedaran mengenai kanser dan kepentingan pemeriksaan sendiri serta saringan harus dipertingkatkan agar penyakit kanser dapat dikesan awal.

Katanya, satu pertiga daripada penyakit kanser terutama kanser payudara, kolorektal dan kanser serviks boleh dicegah sekiranya dibuat saringan awal.

"Kita kesal apabila 59.3 peratus penghidap kanser kolorektal dan 56.5 peratus membabitkan kes kanser payudara dikesan ketika penyakit itu berada pada tahap tiga dan empat.

"Kita turut mendapati empat daripada lapan pesakit lesi mulut yang didiagnosis sebagai kanser mulut hasil saringan dilakukan di klinik pergigian dikesan berada ditahap empat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 1:10 PM