ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat Usman selepas treler dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di kawasan bulatan Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, petang semalam. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat Usman selepas treler dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di kawasan bulatan Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, petang semalam. FOTO ihsan bomba.
Erika George


LELAKI maut selepas treler membawa muatan batu dipandunya terbabas di kawasan bulatan Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, petang semalam.

Mangsa, Usman Marading, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan selepas tersepit di dalam treler berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas treler dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik dalam kejadian 5.30 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.34 petang.

Beliau berkata, tujuh anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Winston Tan bergegas ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Anggota kami menggunakan peralatan ‘Rescue Tools’ dan ‘Air Lifting’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah kenderaan.

“Sejurus dikeluarkan, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 9:37 AM