ANTARA peralatan judi belangkas dirampas oleh polis di sebuah rumah di Kampung Rambai, Padang Siding, Mata Ayer, Arau. FOTO IHSAN IPD ARAU
ANTARA peralatan judi belangkas dirampas oleh polis di sebuah rumah di Kampung Rambai, Padang Siding, Mata Ayer, Arau. FOTO IHSAN IPD ARAU
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Arau: Enam individu termasuk tiga wanita serta dua warga emas direman sehingga esok selepas ditahan ketika asyik bermain judi belangkas di sebuah rumah di Kampung Rambai Padang Siding Mata Ayer di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof berkata, serbuan Op Limau/Op Dadu dijalankan pada 8 malam selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan perjudian tidak berlesen di rumah berkenaan.

"Ketika serbuan dilakukan terdapat enam individu berada dalam rumah berkenaan dan sedang asyik bermain judi dipercayai judi pakau dan belangkas.

"Siasatan awal mendapati pertaruhan judi berkenaan membabitkan nilai RM722 dan polis segera menahan suspek berusia antara 24 hingga 61 tahun untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka itu juga didapati dengan sengaja tanpa alasan munasabah melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 12:32 PM