AZIZI menunjukkan hidangan belangkas masak sambal dan lemak  sajian istimewa digerainya.
AZIZI menunjukkan hidangan belangkas masak sambal dan lemak sajian istimewa digerainya.
Nur Saliawati Salberi


Alor Gajah: Jika dulu, hidangan eksotik belangkas masih kurang diterima kerana isinya dikatakan beracun, namun menu masakan itu kian mendapat permintaan tinggi.

Kini, belangkas tidak lagi dibiarkan mati begitu saja di tepi pantai atau dibuang sekiranya termasuk ke dalam jaring nelayan kerana harganya boleh mencecah antara RM10 hingga RM15 seekor.

Yakin hidangan eksotik ini terus digemari, anak kelahiran Kampung Nelayan Kuala Linggi mencuba nasib mengusahakan warung yang menyediakan menu utama masakan belangkas.

Azizi Buyaman, 24, pada mulanya hanya mengambil tempahan secara kecil-kecilan pada waktu pagi sebelum keluar bekerja pada waktu petang, namun ternyata masakannya mendapat sambutan menggalakkan.

Dia kemudian memperkenalkan Citarasa Belangkas dengan menyediakan empat menu istimewa iaitu belangkas sambal, masak lemak cili padi, masak lemak berempah dan mi goreng belangkas.

“Disebabkan kurang restoran atau gerai di sini yang menyediakan menu belangkas, jadi saya mencubanya.

“Ternyata sejak Citarasa Belangkas beroperasi tujuh bulan lalu, sambutan amat menggalakkan baik daripada pelanggan dalam negeri mahupun luar Melaka.

“Buat masa ini, hanya empat menu disediakan tetapi jika ada yang ingin merasa rendang belangkas, boleh membuat tempahan awal kerana saya pentingkan kualiti dan tidak mahu pelanggan kecewa,” katanya ketika ditemui di warungnya di Kampung Nelayan Kuala Linggi.

Azizi berkata, dia bertuah kerana ibunya, Fauziah Mohd Yasin, 51, banyak membantu dan memberi tunjuk ajar dalam menyedia serta membersihkan belangkas dengan cara yang betul.

Katanya, tidak semua orang boleh membersih dan menyiang belangkas, selain belangkas juga boleh hidup di darat selama dua hari selepas ditangkap.

“Sekurang-kurangnya 30 ekor belangkas dijual sehari, namun bilangannya bertambah pada hujung minggu mahupun cuti umum.

“Seekor belangkas yang siap dimasak dijual pada harga RM20 dan bagi membolehkan pelanggan merasa pelbagai menu, mereka juga boleh memesan sebahagian pada harga RM10,” katanya.

Menurut Azizi, belangkas yang disediakan di warungnya segar, selain dia tidak menyimpan stok yang banyak kerana bimbang akan menjejaskan rasa hidangan.

Katanya, hanya belangkas betina yang dibuat hidangan kerana mempunyai telur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 6:34 AM