Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Helah sepasang suami isteri yang memberi pelbagai alasan untuk melalui sekatan jalan raya (SJR) di Persiaran Surian di sini, mengundang padah apabila mereka dikenakan tindakan kompaun.

Pasangan itu masing-masing berusia lingkungan 50-an pada mulanya ditahan untuk pemeriksaan dalam kejadian pada hari ini.

Mereka memberi alasan mahu ke sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama di sini, bagi membeli barangan keperluan harian.

Bagaimanapun, pihak polis tidak membenarkan mereka untuk ke pusat beli-belah berkenaan kerana terdapat pasar raya berhampiran rumah pasangan itu di Kota Damansara dan meminta mereka berpatah balik.

Namun, arahan berpatah balik itu tidak diendahkan pasangan berkenaan yang kemudiannya memaklumkan mahu menukar lokasi perjalanan mereka ke dua lokasi lain termasuk mahu ke Taman Tun Dr Ismail.

Kedegilan mereka menyebabkan anggota polis bertugas mengenakan tindakan kompaun terhadap pasangan terbabit kerana ingkar arahan PKP.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, masih banyak kenderaan dilihat berada di jalan raya di daerah itu walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan sejak 13 Januari lalu.

"Kebanyakan pemandu yang diperiksa memberi alasan keluar rumah bagi urusan peribadi seperti menziarah ahli keluarga.

"Dalam kes sebegini, kami akan arahkan mereka untuk berpatah balik. Ada juga sesetengah kes, pemandu 'naik angin' apabila diarahkan berbuat demikian menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan kompaun," katanya ketika ditemui di SJR di Persiaran Surian di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 394 kompaun serta 35 tangkapan sepanjang pelaksanaan PKP 2.0 sehingga semalam.

Nik Ezanee meninjau pelaksanaan SJR di Persiaran Surian, Petaling Jaya, pagi hari ini. Foto Bernama
Nik Ezanee meninjau pelaksanaan SJR di Persiaran Surian, Petaling Jaya, pagi hari ini. Foto Bernama

"Kompaun dikeluarkan membabitkan penugasan pemantauan serta sembilan di SJR yang dijalankan secara statik (kekal) serta 'mobil' (bergerak) di seluruh daerah ini.

"Saya menasihatkan orang ramai di daerah ini supaya patuh terhadap arahan PKP yang dikeluarkan pihak berkuasa dan terus berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

"Bersama-samalah kita membantu membanteras penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 12:43 PM