SEBAHAGIAN petugas kesihatan membantu orang awam yang hadir memeriksa tahap kesihatan sekiranya masih mempunyai gejala atau simptom berkaitan dengan wabak COVID-19. FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN petugas kesihatan membantu orang awam yang hadir memeriksa tahap kesihatan sekiranya masih mempunyai gejala atau simptom berkaitan dengan wabak COVID-19. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Johor Bahru: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memuji khidmat tanpa kenal erti lelah petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Adham berkata beliau secara peribadi melihat petugas kesihatan sangat komited dan memberikan khidmat kepada rakyat dengan penuh kasih sayang.

"Mereka juga pantas dan terlatih untuk membuat kerja yang terbaik. Terima kasih saya ucapkan. Pengorbanan anda semua amat besar sekali buat negara ini," katanya catatan yang menyusul selepas beliau mengadakan lawatan ke Pusat Kesihatan Daerah Kulai, hari ini.

Beliau meluangkan masa lebih sejam bagi melihat sendiri tahap kesiapsiagaan operasi petugas barisan hadapan KKM yang berkhidmat di pusat kesihatan berkenaan.

Selain petugas KKM, operasi di pusat kesihatan itu turut dibantu pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi kerajaan lain yang terbabit dalam mengawal pandemik Covid-19 dalam negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 4:57 PM