Datuk Seri Dr Adham Baba. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Datuk Seri Dr Adham Baba. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pengumuman pakej bantuan khas oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pakej itu membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai sumber mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memerangi pandemik Covid-19.

"KKM diberikan peruntukan sejumlah RM800 juta bagi keperluan petugas barisan hadapan membabitkan perolehan kelengkapan perlindungan diri (PPE), reagen, kit saringan, pensanitasi tangan dan bahan guna habis (consumable).

"KKM juga diperuntukkan sebanyak RM3 bilion untuk penyediaan vaksin Covid-19 dengan pelan vaksinasi yang sedang dirancangkan akan bermula pada selewat-lewatnya Mac 2021.

"Kerajaan begitu prihatin dengan pertambahan beban tugas sedia ada barisan hadapan KKM, justeru itu sebanyak 3,500 kakitangan bertaraf kontrak akan diambil pada hujung Januari 2021 yang membabitkan jururawat, anggota paramedik dan sebagainya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, KKM amat berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman hari ini untuk pakej bantuan khas yang turut merangkumi kementerian itu.

Menurutnya, bagi mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan negara, sebanyak RM100 juta turut disediakan untuk merealisasikan kerjasama dengan hospital swasta di mana hospital swasta akan menerima dan merawat pesakit Covid-19 serta bukan Covid-19.

"Ia bertujuan mengurangkan kesesakan bilangan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan daripada sektor kesihatan awam khususnya di hospital Covid-19.

"Dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai langkah-langkah itu, KKM menyeru supaya kita bersama-sama memerangi penularan Covid-19 secara bersepadu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 5:39 PM