DR MOHD YUSOF SAARI
DR MOHD YUSOF SAARI
SHAMSUDDIN BARDAN
SHAMSUDDIN BARDAN
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Hampir RM13 bilion disalurkan kerajaan menerusi pakej rangsangan Program Subsidi Upah (PSU) pada tahun 2020 di bawah PSU 1.0 dan PSU 2.0 dengan baki peruntukan RM2 bilion akan disalurkan tahun ini.

Komitmen itu diteruskan dengan mengumumkan PSU 3.0 menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang ditambah baik untuk membantu majikan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

PSU 3.0 memperluas liputan kepada majikan semua sektor di negeri terbabit PKP, meningkatkan tuntutan maksimum kepada 500 pekerja dan memberi subsidi upah RM600 untuk satu bulan.

Inisiatif itu membabitkan peruntukan tambahan RM1 bilion untuk 250,000 majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif PSU 3.0 yang memberi manfaat bukan saja kepada majikan, tetapi juga pekerja serta masyarakat.

Menurutnya, langkah kerajaan meningkatkan tuntutan maksimum kepada 500 pekerja berbanding 200 pekerja sebelum ini langkah terbaik kerana syarikat besar di negara ini terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

"Dengan peningkatan tuntutan maksimum pekerja, syarikat besar mampu bertahan seterusnya tidak memberhentikan pekerja sedia ada," katanya.

Menurutnya, walaupun tempoh PKP ditamatkan mengikut tarikh ditetapkan kerajaan namun kesannya terhadap ekonomi mengambil masa lama.

"Untuk menangani isu ini, kita merayu kerajaan menimbang untuk memanjangkan pelaksanaan PSU 3.0 sekurang-kurangnya tiga bulan iaitu sehingga Mac kerana untuk ekonomi pulih, ia mengambil masa lama.

"MEF juga memohon kerajaan mempertimbang untuk memanjangkan PSU 3.0 ini kepada syarikat di Sarawak juga," katanya.

Selain Subsidi Upah, kerajaan bersetuju melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP Prihatin.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Perkeso, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, inisiatif itu sangat baik kerana meringan beban mereka kehilangan pekerjaan dan membolehkan kerajaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Perkeso membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan baharu.

Katanya, inisiatif itu memberi didikan kepada pekerja betapa pentingnya mencarum insurans pekerjaan.

"SIP membantu mereka kehilangan pekerjaan melalui tiga medium utama iaitu bantuan kewangan bulanan, pencarian pekerjaan dan latihan semula," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata, pasaran buruh masih dalam keadaan baik kerana peluang pekerjaan wujud terutama bagi pekerjaan tidak mahir dan separa mahir manakala peluang pekerjaan mahir masih terhad ketika fasa pemulihan ekonomi.

"Disarankan mereka kehilangan pekerjaan tidak memilih pekerjaan dan boleh menceburi pekerjaan alternatif," katanya.

Menerusi bantuan kewangan SIP Prihatin, 30 peratus daripada gaji diperoleh selama tiga bulan.

Dr Mohd Yusof berkata, kadar 30 peratus itu adil kepada kedua-dua pihak iaitu pencarum dan SIP kerana kelonggaran diberikan.

"Jika PKP berlanjutan lebih sebulan maka inisiatif lain diperlukan bagi mengimbangi kesan ekonomi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 1:15 PM