GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang wanita bukan sahaja gagal menyelamatkan perkahwinannya, malah turut menanggung kerugian hampir RM400,000 selepas menjadi mangsa penipuan individu menawarkan perkhidmatan memulihkan rumah tangganya.

Mangsa berusia 48 tahun dikatakan mula membuat transaksi sejak awal Disember 2019 dengan transaksi terakhir pada tahun ini tanpa pernah bertemu dengan suspek yang juga seorang wanita.

Menurut sumber, mangsa yang mengalami masalah rumah tangga diperkenalkan dengan suspek yang dikatakan mampu menjadi 'orang tengah' untuk memulihkan semula hubungannya bersama bekas suami.

Katanya, selepas diberi kepercayaan, suspek yang tidak dikenali mangsa beberapa kali meminta wanita terbabit memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun diberikan kononnya sebagai caj perkhidmatan dan berlarutan sehingga ke hari ini dengan alasan untuk membayar hutang.

"Setiap kali mangsa enggan menuruti kemahuannya, suspek mengugut mahu menceritakan segalanya kepada keluarga dan bekas suami wanita terbabit.

"Mangsa mula hilang kepercayaan terhadap suspek memandangkan perkahwinannya gagal diselamatkan selain kegagalan suspek menunjukkan bukti pembayaran setiap kali diminta.

"Mangsa yang yakin dirinya menjadi mangsa penipuan membuat laporan di Balai Polis Wakaf Tapai, Marang pada Sabtu lalu untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali dan berhati-hati ketika membuat transaksi wang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:52 PM