NORHAYATI dan suaminya ketika menuai padi dibendang diusahakan mereka di Kampung Gagu. FOTO Abnor Hamizam
NORHAYATI dan suaminya ketika menuai padi dibendang diusahakan mereka di Kampung Gagu. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: "Berpuluh tahun lamanya saya tidak membeli beras yang dijual di pasaran kerana selesa menggunakan beras kampung yang diusahakan menggunakan tulang empat kerat.

"Semusim padi ditanam mampu hasilkan sehingga 300 kilogram beras dan ia lebih mencukupi untuk keperluan keluarga," kata Norhayati Rashidin, 64 dari Kampung Gagu dekat sini.

Norhayati bersama suaminya Shahminan Mohd Zin, 78, mengusahakan sawah padi diatas tanah seluas 0.6 hektar sejak 40 tahun lalu.

Di kampung itu, hanya tinggal dia dan empat penduduk lain yang masih menanam padi bagi mengekalkan tradisi diwarisi nenek moyang.

Norhayati berkata, faktor usia menyebabkan penduduk hanya mampu mengusahakan semusim bendang berbanding dua musim ketika masih muda dan memiliki kudrat.

Katanya, daripada menyemai benih, mengubah dan menyabit padi sebaik boleh dituai ia dilakukan dengan tulang empat kerat kudrat dia dan suami.

"Proses melerai padi dibuat dengan mesin pelerai yang disumbangkan oleh Tan Sri Dr Rais Yatim selepas kaedah tradisional membanting tidak lagi sesuai berikutan faktor usia pesawah.

" Beliau juga turut menyumbangkan enjin bagi mesin memproses beras dan mesin itu diletakkan berhampiran rumah seorang penduduk dan dikongsi bersama pesawah lain," katanya ditemui di sini.

Norhayati berkata, keluarganya jarang membeli beras berikutan sudah selesa menggunakan beras kampung yang diusahakannya.

Katanya, menanam padi secara tradisi sangat memenatkan namun itulah yang dilakukan dia dan suami bagi memastikan tanah sawah itu tidak terbiar.

"Hasil itu jugalah digunakan bagi membesarkan empat anak dan disebabkan itu kebanyakan mereka turut menggemari beras kampung.

"Beras kampung itu juga turut dijualkan kepada orang ramai termasuk yang datang dari Kuala Lumpur pada harga RM5 sekilogram selain turut disedekahkan kepada sahabat," katanya.

Norhayati berkata, padi yang sudah dileraikan menggunakan mesin kemudian dijemur sehingga kering sebelum menjalani proses mendapatkan beras.

Menurutnya, padi yang tidak dimesin bagi mendapatkan beras boleh disimpan di dalam guni sehingga bertahun lamanya.

"Sebaik tamat musim menanam kali ini dan jika mahu meneruskan lagi menanam padi, batang padi yang tinggal di bendang perlu diracun, selepas itu dibakar sebelum tanah dibajak dengan menyewa traktor pembajak.

" Ketika ini yang merunsingkan petani adalah serangan haiwan perosak termasuk binatang liar dari hutan berhampiran.

" Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi bantuan baja dan racun," katanya.

Norhayati berkata, sepatutnya anaknya membantu ketika kerja menyabit padi dilakukan namun tidak dapat berbuat demikian akibat larangan rentas negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP ).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 5:18 PM