Beras keluaran pertama Negeri Sembilan dengan jenama beras Seri Menanti yang boleh didapati dengan harga pengenalan RM2 sekilogram dan RM6 bagi tiga kilogram pada Pesta Bola Ngoca 2023 di Perkampungan Budaya Terachi. FOTO AZRUL EDHAM
Beras keluaran pertama Negeri Sembilan dengan jenama beras Seri Menanti yang boleh didapati dengan harga pengenalan RM2 sekilogram dan RM6 bagi tiga kilogram pada Pesta Bola Ngoca 2023 di Perkampungan Budaya Terachi. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Jualan kali pertama beras jenama Sri Menanti sempena Pesta Bola Ngoca 2023 di Perkampungan Budaya Terachi, di sini, hari ini mendapat sambutan daripada penduduk tempatan.

Ini kerana seawal 10.30 pagi, orang ramai mulai beratur bagi mendapatkan beras yang dijual pada harga pengenalan RM2 sekilogram dan RM6 bagi tiga kilogram.

Warga emas Mokhtar Sulaiman, 78, berkata dia datang ke pesta rakyat berkenaan semata-mata untuk membeli beras keluaran tempatan itu kerana perasaan teruja bagi mendapatkan beras hasil keringat anak tempatan.

"Baguslah Negeri Sembilan sudah ada keluaran beras sendiri dan saya berharap lebih banyak lagi bendang dapat diusahakan supaya pengeluarannya lebih banyak.

"Macam-macam beras yang ada di pasaran, namun susah untuk dapatkan beras dengan harga murah," katanya ketika ditemui, di sini.

Suri rumah Asmawati Isa, 49, berkata sebagai anak kelahiran Kuala Pilah, dia berbangga apabila Negeri Sembilan akhirnya mempunyai jenama produk beras sendiri.

Menurutnya, dsebabkan itu dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan beras berkenaan yang julung kali dijual.

"Dari saya kecil lagi keluarga usahakan tanah sawah. Dahulu kita ada mesin memproses padi.

"Sebab itu apabila saya tengok Negeri Sembilan akhirnya ada produk beras pertama ini, saya rasa bangga dan sebab itu tak mahu melepaskan peluang untuk datang membelinya," katanya.

Pesawah, Ab Kadir Sharif, 65, pula menyambut baik usaha kerajaan negeri memperkenalkan jenama beras sendiri dan sememangnya sudah lama dinanti-nanti.

Dia yang mengusahakan tanah sawah seluas 8.9 hektar di Kampung Terusan, Juasseh turut bersedia bekerjasama dengan pihak terbabit bagi membekalkan padi untuk tujuan menghasilkan beras Seri Menanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 2:52 PM