GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Bermula dengan meminum minuman keras sehingga mabuk sebelum berakhir dengan pergaduhan sesama sendiri.

Itu dilakukan tiga lelaki yang turut bertindak bahaya apabila kereta dinaiki mereka cuba melanggar orang awam di Seksyen 17a/6, Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima aduan menyatakan ada pergaduhan dan sebuah kereta cuba melanggar orang awam.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, anggota dari Cawangan Kereta Peronda Polis (MPV) IPD Petaling Jaya diarahkan ke tempat kejadian dan menahan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan itu.

"Semakan rekod lampau mendapati hanya suspek yang berusia 20 tahun mempunyai lima rekod dalam kes jenayah iaitu tiga kes mengikut Seksyen 324, 148 dan 506 Kanun Keseksaan.

"Menurut saksi awam yang melihat kejadian, terdapat seorang lagi suspek lelaki berbaju putih yang memecahkan cermin belakang kereta itu dengan sebatang kayu namun dia melarikan diri dan pihak polis masih mengesannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas kereta Proton wira yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

"Kedua-dua suspek ditahan reman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 307, 324 dan 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 8:38 PM