Orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan dengan  memeriksa suhu badan sebelum masuk ke Pasar Besar Alor Setar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19. FOTO AMRAN HAMID
Orang ramai mematuhi SOP yang ditetapkan dengan memeriksa suhu badan sebelum masuk ke Pasar Besar Alor Setar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak COVID-19. FOTO AMRAN HAMID
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sembilan kompaun dikeluarkan terhadap individu di daerah ini selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan mulai Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, antara kesalahan dikesan seperti tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakan fizikal di tempat awam.

Menurutnya, selain itu tiga kenderaan turut diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri di samping memberi alasan tidak munasabah.

"Kelonggaran diberi sehingga semalam untuk orang ramai yang mahu pulang ke kampung ketika PKPB ini, namun bermula hari ini, kita terpaksa melaksanakan tindakan lebih tegas supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita turut mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi tumpuan seperti pasar raya, pasar harian dan bazar perniagaan," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Alor Setar, di sini, hari ini.

Katanya, kelekaan dan sikap tidak ambil peduli orang ramai terhadap pematuhan SOP bakal menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah kes Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:54 PM