FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEBANYAK 3,243 kenderaan yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri di Perak diarahkan berpatah balik kerana tiada surat kebenaran sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 18,801 permohonan rentas negeri diterima dengan 17,263 daripadanya diluluskan.

Menurutnya, permohonan selebihnya terpaksa ditolak disebabkan tiada alasan munasabah.

"Arahan berpatah balik dikeluarkan di 37 lokasi tetap sekatan jalan raya (SJR) seluruh Perak terhadap semua kenderaan yang tidak mempunyai kebenaran rentas negeri

"Pemantauan dilakukan berterusan bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap PKPB selain pasukan bertindak (task force) turut ditubuhkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 44 tangkapan dibuat membabitkan kesalahan melanggar pematuhan PKPB dalam tempoh sama.

Katanya, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran menjelang sambutan Aidilfitri yang dijangka pada Ahad ini.

"Orang ramai dinasihatkan tidak sesekali mengambil kesempatan merentas negeri untuk pulang ke kampung serta melanggar arahan kerana mereka boleh berdepan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:27 PM