Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan harga sayuran di Pasar Besar Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaan harga sayuran di Pasar Besar Alor Setar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah mengeluarkan tiga kompaun terhadap peniaga sayur dan kedai makan dalam Ops Pasar dan Ops Menu yang dilakukan hari ini.

Kompaun dikeluarkan berikutan tiada tanda harga diletakkan ketika menjalankan perniagaan yang membabitkan penjualan sayur dan harga makanan.

Operasi yang bermula 10 pagi sehingga lewat petang hari ini tertumpu di pasar awam utama di negeri ini iaitu Pasar Besar Alor Setar dalam Ops Pasar dan dilanjutkan dalam Ops Menu di beberapa premis makanan di bandar raya ini.

Pengarah KPDNHEP Kedah Rae Morn Verak berkata, Ops Pasar dan Ops Menu yang dilakukan itu mensasarkan peletakan tanda harga yang jelas dan penggunaan alat timbang yang masih dalam tempoh yang sah.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu kenaikan harga barangan yang berlaku seperti yang dibangkitkan oleh pengguna dan pihak media di negeri ini.

"Setakat ini KPDNHEP Kedah menggerakkan seramai 172 orang Pegawai Penguat Kuasa dan 52 orang pegawai pemantau harga di seluruh negeri ini bagi memantau serta membuat pemeriksaan menerusi Ops Pasar dan Ops Menu.

"Pemeriksaan juga dilakukan berdasarkan aduan orang awam sekiranya berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

"Sepanjang pelaksanaan Ops Pasar dan Ops Menu sebanyak 171 pemeriksaan dilakukan di bawah Ops Pasar manakala 115 pemeriksaan di bawah Ops Menu dilakukan," katanya ketika ditemui selepas operasi dilakukan, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad.

Rae berkata, dua kes diambil tindakan di bawah Ops Pasar, manakala satu kes lagi dihasilkan di bawah Ops Menu.

Beliau berkata, bagi Ops Pasar sebanyak 12 notis bertulis (NB) dan 89 Notis pengesahan maklumat barangan (NPMB) dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat untuk dianalisa sekiranya peniaga didapati menaikkan harga yang tidak munasabah.

"Ia akan disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya menyimpan resit sekiranya dikenakan bayaran yang mahal bagi memudahkan pihak KPDNHEP melakukan siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 8:19 PM