KEADAAN kenderaan yang remuk selepas melanggar mangsa. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kenderaan yang remuk selepas melanggar mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming


Tawau : Pemandu lori maut ketika melintas jalan dalam kemalangan di Kampung Iban, Jalan Tawau-Kalabakan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 7 malam itu, mangsa Lasappek Lakubek, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) Isuzu Dmax dipandu lelaki berusia 31 tahun dengan seorang pejalan kaki.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Kalabakan.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas jalan raya dari arah kanan ke kiri jalan.

"Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu gagal mengelak lalu terlanggar mangsa sehingga terpelanting ke bahu jalan sebelah kanan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Peter berkata, pemandu bersama seorang lagi penumpang bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati kawasan itu ada lampu jalan tetapi tidak berfungsi selain permukaan jalan berturap.

"Pemandu juga tidak disyaki mabuk namun sampel darahnya diambil untuk tindakan lanjut," katanya sambil menambah siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 10:31 AM