NOLIA memilih pakaian selepas rumahnya di Kampung Baru Kuala Krau ditenggelami banjir. FOTO MOHD RAFI MAMAT
NOLIA memilih pakaian selepas rumahnya di Kampung Baru Kuala Krau ditenggelami banjir. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Temerloh: "Selama sembilan hari saya sekeluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah ditenggelami banjir hampir dua meter," kata Nolia Mohd Nayan.

Nolia, 44, yang menetap di Kampung Baru Kuala Krau, di sini, berkata, banjir kali ini yang membawa selut menyebabkan semua barangan termasuk pakaian kotor dan bertukar warna menjadi kuning.

Katanya, kedudukan rumahnya kira-kira 100 meter dari Sungai Pahang memburukkan lagi keadaan apabila air naik dengan cepat menyebabkan banyak barangan tidak sempat diselamatkan.

"Saya bersama keluarga hanya sempat membawa beberapa helai pakaian dan berpindah ke PPS Dewan Serbaguna Kuala Krau sambil menjangka tidak terlalu besar dan hanya beberapa hari sahaja.

"Namun, sebaliknya berlaku sebaliknya apabila banjir hampir dua minggu dan selepas dibenarkan pulang, luluh hati saya apabila melihat keadaan dalam rumah bukan sahaja kotor tetapi turut rosak," katanya yang bekerja sebagai tukang urut wanita.

Menurutnya, dia menanggung kerugian lebih RM5,000 apabila perabot dan pelbagai barangan musnah selain banyak pakaian terpaksa dibuang kerana terendam dalam lumpur.

Katanya, walaupun banjir kali ini lebih kecil berbanding banjir pada 2014, kesan serta kerugian dialami mangsa tidak kurang hebatnya berikutan air naik dengan cepat menyebabkan banyak barang tidak sempat diselamatkan.

"Saya sekeluarga kini bergotong-royong membersih dalam rumah termasuk barangan dan peralatan boleh digunakan dan banyak barangan terpaksa dibuang.

"Lebih sedih, pakaian sekolah anak dan cucu saya yang baharu dibeli untuk sesi persekolahan akan datang turut ditenggelami banjir, baju berwarna putih kini menjadi kuning," katanya yang dibenarkan pulang ke rumah Rabu lalu.

Jirannya, Ronisah Abu Bakar, 52, berkata banjir yang berlaku minggu lalu hampir mencecah bumbung rumah dan dia reda apabila banyak barang dan peralatan rumah musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 3:13 PM